Thursday 29 November 2012

MaRi BeLaJaR SaiNS: Benda Hidup & Benda Bukan Hidup

MaRi BeLaJaR SaiNS: Benda Hidup & Benda Bukan Hidup

Rancangan Pelajaran Bahasa Melayu Tatabahasa


RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN BAHASA MELAYU


Mata Pelajaran            : Bahasa Melayu
Tahun                         : 4 Pintar
Tarikh                          : 24 /10/2012
Masa                           : 8.15 – 9.15
Bil. Pelajar                  : 10 orang
Tema                          : Yang Baik Jadikan Teladan
Tajuk                           : Awang Perut Buncit
              Tatabahasa(Antonim) – Lawan Perkataan

Fokus Utama   :
 7.1Membaca dan menerangkan maksud kandungan                    
teks yang tersurat dan tersirat.
Aras 2
i) Menjelaskan maksud tersurat dan
   tersirat berdasarkan bahan
  
Aras 3
i) Membuat kesimpulan tentang maksud    tersurat dan tersirat berdasarkan    bahan grafik dan bukan grafik

Fokus Sampingan :
6.2 Mengenal pasti pelbai genre penulisan. 
Aras 2
i) Mengenal pasti frasa, kata ,peribahasa  dan ayat yang biasa digunakan dalam sesuatu genre penulisan.

Pengalaman sediada :
  1. Pelajar sudah boleh membaca
  2. Pelajar pernah mendengar perkataan berlawanan

Objektif
  1. Memahami petikan teks yang dibaca
  2. Mencari perkataan berlawanan bagi perkataan yang terdapat dalam teks

Sistem Bahasa :
Tatabahasa :
Kosa Kata :

Pengisian Kurikulum ;
i.              ilmu
ii.             Nilai murni

KBT :

BBM : Rujuk Lampiran







Langkah / masa
Isi Kandungan
Aktiviti P&P
Catatan
Set Induksi
(5 minit)

  • Guru membawa bola ping pong dn bola sepak.
  • Seorang murid lelaki diminta untuk menimang 2 bola itu.
  • Guru mengaitkan isi pelajaran pada hari ini
Sasaran : murid
Langkah 1
(10 minit)
Petikan,
Bacaan
Intonasi
  • Guru mengedarkan petikan
  • Murid membaca petikan
  • 2 orang murid diminta membaca kuat dengan intonasi yamg betul
Murid
Langkah 2
(10 minit)
Memahami petikan dan perkataan
  • Guru menerangkan  petikan yang dibaca
  • Guru menerangkan perkataan yang bergaris dlam petikan yang dibaca

Guru
Langkah 3
(10 minit)

Perkataan berlawanan
  • Guru meminta murid menyebut perkataan bergaris dan memberi lawan kepada perkataan itu
  • Guru menulis pada papan putih perkataan berlawanan itu
Guru dan Murid
Langkah 4
(20 minit)
Lembaran kerja
  • Guru mengagihkan lembaran kerja kepada pelajar
  • Pelajar diminta untuk menulis perkataan berlawanan berdasarkan ayat yang diberikan
  •  
Murid
Penutup
(5 minit)

  • Guru mengulangi apa yang telah dipelajari pada hari ini kepada pelajar
Murid dan Guru









BBM

Awang Perut Buncit
Di hujung negeri Intan Saujana ada sebuah kampung kecil yang diberi nama Kampung Teluk Sabuh. Seorang nelayan bernama Pak Laha tinggal bersama keluarga di Kampung Teluk Sabuh. Mak laha bercucuk tanam membantu Pak Laha mencari rezeki. Mereka ada seorang anak bernama Awang Tembam. Mereka sekeluarga hidup aman dan damai.

Awang tembam tidak dapat menolong Pak Laha ke laut kerana perutnya yang sangat buncit. Konon ceritanya, perut Awang Tembam lebih besar dari perut perempuan yang mengandung sembilan bulan. Agaknya kerana itu la dia dipanggil Awang Perut Buncit oleh orang kampung.

Kakak-kakak Awang Tembam yang membantu Mak Laha di kebun selalu merungut

“Kami yang penat bekerja, Tembam pula yang makan lebih”, kata mereka.

Pada suatu petang, negeri Intan Saujana diserang oleh raja negeri Setampuk Pinang. Dalam masa sehari saja, negeri Intan Saujana tewas. Namun rajanya tidak mengaku kalah sebaliknya raja Intan Saujana mencabar Raja Setampuk Pinang untuk beradu satu lawan satu dalam berbagai acara.

Malangnya semua askar-askar Intan saujana kalah di dalam semua acara yang dipertandingkan oleh askar dari negeri Setampuk Pinang. Sekarang hanya tinggal satu acara sahaja iaitu bertanding melaga perut buncit.

Maka Awang Tembam pun diperintahkan ke istana. Pak Laha dan Mak Laha menangis melepaskan Awang Tembam. Awang Tembam pun tampil ke tengah gelanggang dan mula mencabar satu persatu pahlawan Setampuk Pinang.

Dalam masa yang singkat Awang Tembam berjaya mengalahkan semua pahlawan Setampuk Pinang dan Raja mereka pun berangkat pulang ke negerinya dengan penuh rasa malu.

Maka selamatlah negeri Intan Saujana

Sunday 25 November 2012

Martabat Bahasa Melayu


Bahasa Melayu Kita
PENDAHULUAN     
Martabat dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan terutamanya di institusi pendidikan tinggi swasta mengalami perubahan status apabila Akta Pendidikan 1996 diluluskan oleh Parlimen Malaysia.    Menurut tafsiran Seksyen 2 dan seksyen berkenaan dalam Akta 1996, bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa penghantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, menurut Seksyen 17(1) Menteri ada kuasa mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di mana-mana institusi pendidikan lain. Peruntukan tersebut jelas menunjukkan bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar telah mengalami perubahan.  
KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA  
Perlembagaan persekutuan Malaysia melalui Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menghendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi. Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kecualian, iaitu dengan syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.     
 Berdasarkan perkara ini, mahkamah pernah memutuskan, dalam kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia, bahawa oleh sebab tiadanya perkataan “in” (dalam), maka hak untuk mengajar “dalam” bahasa Cina atau sesuatu bahasa lain, selain bahasa Melayu tidak dibenarkan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.     
KEDUDUKAN INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA DALAM  SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN     
PENGIKTIRAFAN Institusi Pendidikan Swasta (IPS) sebagai sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan dibuat melalui Seksyen 16 Akta 1996. Oleh sebab IPS merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, maka IPS mempunyai pilihan dalam hal penggunaan bahasa penghantar sama ada untuk mengikut amalan sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan atau memohon kecualian mengikut seksyen 17 akta berkenaan. Dengan perkataan lain, IPS mempunyai kebebasan seluas-luasnya dalam menentukan penggunaan bahasa penghantar. Kelonggaran inilah yang merendahkan martabat bahasa Melayu sekali gus melemahkan pencapaian falsafah dan matlamat dasar pendidikan kebangsaan.  Dari satu segi, Seksyen 75 sebenarnya tidak memberikan apa-apa kuasa kepada Menteri dalam menghendaki pengajaran mata pelajaran tertentu yang relevan dalam konteks pendidikan bersepadu dan kenegaraan di peringkat menengah atas kerana Menteri hanya boleh meminta (may require) institusi pendidikan swasta untuk mengajarkan mata pelajaran bahasa kebangsaan apabila bahasa lain digunakan sebagai bahasa penghantar. Hal ini bermakna bahawa Menteri tidak diberi kuasa yang jelas untuk membolehkan pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan. Selain itu, bahasa Melayu hanya diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan di samping mata pelajaran lain yang diajarkan di institusi pendidikan tinggi swasta.    Kesan lain yang ketara ialah bahasa Melayu mungkin tidak mempunyai tempat dalam kurikulum pendidikan swasta kerana bukan sahaja boleh tidak menjadi bahasa penghantar tetapi boleh juga tidak menjadi bahasa wajib. Malah, kedudukannya sebagai bahasa pilihan sebagai bahasa asing tidak disebut sama sekali.     
PERMASALAHAN MARTABAT BAHASA MELAYU SEBAGAI   BAHASA KEBANGSAAN     
BEBERAPA gejala yang berlaku kini dengan seriusnya mencabar martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Menurut Hashim Musa (1996), yang paling serius ialah penubuhan kolej swasta dan separuh swasta dan institusi pengajian tinggi kerajaan yang kesemuanya berpenghantar bahasa Inggeris. Menurut beliau lagi, faktor ini ditambah pula oleh gejala globalisasi yang menekankan penggunaan bahasa Inggeris dengan pesatnya. Selain itu, faktor-faktor itu disertai juga oleh penggunaan bahasa Inggeris yang memang berleluasa dalam sektor swasta yang tidak pernah tergugat atau digugat. Di samping itu, wujud golongan Inggerisofili yang muncul dengan nostalgia mereka yang amat tebal terhadap bahasa Inggeris hingga menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dan sebagai bahasa penghantar pendidikan.    Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah kini di kalangan golongan elit Malaysia timbul satu perasaan kecurigaan tentang kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa penghantar ilmu sains dan teknologi (Hashim Musa 1996). Dengan kata lain, wujud krisis keyakinan tentang kemampuan bahasa Melayu dalam menghuraikan dan mengungkapkan ilmu yang tinggi. Oleh hal yang demikian, faktor dan krisis ini perlu dilihat secara objektif dalam usaha kita memartabatkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi apabila wujudnya Akta IPTS yang kelihatan meminggirkan bahasa Melayu.  
PEMARTABATAN BAHASA MELAYU DI INSTITUSI   PENDIDIKAN TINGGI SWASTA     
PERJUANGAN mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu telah dijalankan sekian lama. Malah proses menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar pendidikan telah mengambil masa yang panjang dan hanya pada tahun 1982 baharulah bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar sepenuhnya dalam sistem pendidikan negara. Pelbagai akta dan dasar seperti Akta Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 serta Penyata Razak dan Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1982) telah dirancang, digubal, dan dilaksanakan. Penubuhan Universiti kebangsaan Malaysia pada tahun 1972 yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa penghantar menunjukkan kemampuan bahasa Melayu itu sendiri.   Berdasarkan pelbagai akta dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berkenaan, jelaslah bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu telah diletakkan di tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Tetapi martabat bahasa Melayu kelihatan terhakis dengan wujudnya akta Pendidikan 1996. Peruntukan dalam akta berkenaan jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah di kesampingkan. Dalam hal ini, Abdullah Ayob (1998) Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata bahawa para siswa tempatan perlu mempertahankan martabat bahasa kebangsaan kerana kedudukan bahasa kebangsaan sekarang ini berhadapan dengan beberapa banyak tekanan berikutan banyak institusi pengajian tinggi swasta yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Abdullah berkata bahawa langkah ini perlu bagi memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan untuk selama-lamanya.     
 Kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam akta berkenaan juga telah menyebabkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu V 1998 membuat resolusi agar:   ? Menyemak serta melaraskan semula tujuan Akta Pendidikan (AP) 1996 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996.  ? Menggugurkan Fasal 17 dalam AP dan Fasal 41 Akta IPTS 1996.   ? Mengkaji dan menggugurkan dasar yang membenarkan bahasa Inggeris, Cina, dan Tamil digunakan sebagai bahasa penghantar di sekolah dan di universiti.   ? Menggesa semua tenaga pengajar tempatan di IPTS mengajar kursus dalam bahasa Melayu.   ? Menggesa memastikan semua IPTS yang akan memulakan dan menyambung operasinya menyediakan rancangan realistik untuk melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam jangka masa yang munasabah.(Berita Harian 29 Jun 1998:1)     
Berdasarkan resolusi di atas, jelaslah bahawa AP 1996 dan Akta IPTS 1996 berhubung dengan kedudukan bahasa Melayu telah meragukan dan membimbangkan banyak pihak. Abdul Latif Abu Bakar, pengarah kongres berkenaan berkata bahawa pertumbuhan pesat IPTS kini rata-rata menyaksikan kebanyakan pihak berkenaan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam pelaksanaan program pengajian yang ditawarkan. Keadaan ini secara langsung menggambarkan pihak terbabit tidak mendaulatkan bahasa rasmi negara.    AP 1996 dan Akta IPTS 1996 turut dilihat sebagai bertentangan dengan langkah-langkah peningkatan dan pengukuhan bahasa Melayu. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin (1994) menegaskan bahawa beberapa langkah telah diambil untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran, kecuali bahasa-bahasa asing melalui strategi bahasa Melayu merentas kurikulum. Jelas sekali bahawa langkah ini akan menjadi sia-sia dan boleh dilihat sebagai berundur ke belakang.  Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (1998) telah membuat pengumuman bahawa kursus Pengajian Malaysia yang diwajibkan di semua universiti swasta di negara ini akan dikendalikan dalam bahasa Melayu, selaras dengan usaha mengangkat martabat bahasa itu. Langkah ini merupakan suatu usaha yang sangat dialu-alukan. Walau bagaimanapun usaha ini tentunya masih belum cukup untuk memartabatkan bahasa melayu sewajarnya.     
 Kerajaan tidak harus membelakangkan penggunaan bahasa Melayu kerana usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa dan untuk menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan akan gagal. Sekiranya kita ingin menjadikan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa utama dunia siber, bahasa Melayu perlu terlebih dahulu digunakan di IPTS. Jika tidak, cita-cita ini hanya akan menjadi omong-omong kosong dan akan tinggal impian semata-mata.  Inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan bahasa Melayu terutamanya di peringkat institusi pengajian tinggi kepada pelajar dari negara luar. Dengan bersikap proaktif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dihormati oleh warga dunia maka kita harus mendaulatkannya di dalam dan di luar negara.    Juriah Long (1996) dalam kertas kerjanya yang bertajuk Pendidikan bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa dalam era industrialisasi dan globalisasi telah menyatakan bahawa ahli profesional dan teknokrat dari luar negara yang bertugas di negara ini perlu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan pekerja mereka. Oleh itu, mereka perlu juga mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa asing dan oleh sebab timbulnya keperluan-keperluan baru bagi menghadapi era industrialisasi dan globalisasi ini maka sewajarnyalah bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar di IPTS negara ini.    Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Dalam hal ini, kita sedia maklum bahawa institusi pengajian tinggi merupakan institusi yang menjunjung ciri-ciri keilmiahan sama ada dari aspek pengajaran dan pemelajaran mahupun dari aspek penyelidikan. Universiti memainkan peranan utama dalam penyelidikan dan sewajarnyalah bahasa Melayu digunakan agar dapat mengangkat martabat dan kemampuan bahasa Melayu itu sendiri memperkatakan hal-hal yang lebih abstrak secara tepat dan tegas.    Akta Pendidikan 1961 yang memberikan fokus utama mengembangkankan pendidikan melalui bahasa kebangsaan sebagai medianya dan menggantikan bahasa Inggeris telah berjaya (Abdul Ghani Awang 1997). Akta tersebut memainkan peranannya selama tiga dekad setengah dan didapati mampu melaksanakan matlamat dan falsafah dasar pendidikan negara. Kejayaan demi kejayaan telah dicapai dan Malaysia diakui sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu dengan menggunakan dan menempatkan bahasa Melayu dengan sewajarnya. Oleh itu, tidak perlu wujud kurang keyakinan dalam menggembleng dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di IPTS seperti yang dilakukan sebelum ini. IPTS yang baru muncul tidak wajar diberikan kelonggaran semata-mata untuk memberikan peluang dan kesempatan kepada bahasa asing mengambil tempat. Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan selama ini telah banyak membawa kemajuan kepada pembangunan negara dan dapat menerapkan perpaduan di kalangan rakyatnya. Oleh itu, wajarlah keyakinan dan kepercay aan kepada kemampuan bahasa Melayu diteruskan dalam sistem pendidikan negara.     
 Pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing sebenarnya telah lama dijalankan di institusi pengajian tinggi di negara ini.  Menurut Azhar Ab. Wahab dan Noor Ida Ramli (1997), Jabatan Pengajian Melayu Institut Teknologi Mara mula memperkenalkan kursus bahasa Melayu sejak tahun 1972 lagi kepada pelajar Kajian Sebaran Am dan kursus-kursus diploma yang lain. Malah kursus bahasa Melayu bagi sekumpulan 25 orang jurutera syarikat Esso Production Malaysia Inc., Kerteh Terengganu telah dijalankan oleh ITM cawangan Pahang. Begitu juga halnya dengan pengalaman Universiti Kebangsaan Malaysia (Abu Bakar Hj. Ibrahim dan Asma Yussof 1994) dan Universiti Sains Malaysia (Mashudi Kader 1996). Keadaan ini menunjukkan kemampuan dan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa pemelajaran dan juga bahasa keilmiahan khususnya di IPT tempatan.   Martabat bahasa Melayu di IPT sebenarnya telah menunjukkan kemampuan dan keberkesanannya. Hal ini diperkuat apabila bahasa Melayu diajarkan dan diteliti di puluhan universiti di Eropah, di Australia, di New Zealand, dan di Amerika Utara, di samping diteliti dan diajarkan di rantau Asia Tenggara, Asia Timur, dan Asia Utara (Ismail Hussein 1995). Dalam hal ini, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi bahasa antarabangsa. Universiti islam Antarabangsa sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar utama dan bahasa Arab sebagai bahasa penghantar kedua (Awang Sariyan 1995) juga telah menjalankan usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu untuk nantinya diangkat sebagai bahasa penghantar. Hal ini demikian kerana universiti ini disertai oleh pelajar dari dalam negara dan negara luar. Malah Awang Sariyan (1995) turut menyarankan supaya bahasa Melayu diwajibkan di kalangan anak-anak warganegara asing yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa.    Peranan IPT dalam meningkatkan martabat bahasa Melayu sebenarnya sangat penting. Hal ini demikian kerana bidang penyelidikan dijalankan di universiti terutamanya tentang bahasa Melayu. Penyelidikan dijalankan dengan menggunakan bahasa Melayu dan sekali gus membantu meningkatkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Menurut Mohd. Tajudin Abdul Rahman (1996), aktiviti penyelidikan merupakan sesuatu yang dapat membawa kepada pengembangan dan perubahan. Dengan kata lain, apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penyelidikan, hal ini akan dapat meningkatkan status dan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Berdasarkan hakikat ini, maka wajarlah bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar di IPTS.    Kecenderungan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di IPTS juga berkait rapat dengan persepsi kita tentang kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik di universiti. Pada tanggal 6 Mei 1995, kerajaan telah menyatakan bahawa:     
 “Kerajaan hari ini mengambil keputusan membenarkan penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi bagi tujuan meningkatkan ilmu dalam bidang sains dan teknologi … Langkah ini perlu bagi memastikan pencapaian dan penyertaan rakyat dalam pelbagai bidang dalam proses menjayakan negara”  
(Mingguan Malaysia 7 Mei 1995)     
Kenyataan di atas jelas menunjukkan ketidakyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu, lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi. Dalam hal ini Abdul Hamid Mahmood (1996) mengatakan bahawa persoalan mampu atau tidak mampunya bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa akademik terletak pada pendukung atau pengguna bahasa itu sendiri. Abdul Hamid Mahmood menambah bahawa selepas tiga belas tahun bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar ilmu di universiti-universiti, kesangsian terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik mula dipersoalkan.     
Meletakkan status atau martabat bahasa Melayu bermakna meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan membina budaya berbahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, Tajul Ariffin Noordin (1991) pernah menyarankan supaya diadakan usaha memperkembangkan dan memperkaya penyelidikan asli karya-karya dalam bahasa Melayu dalam semua bidang. Menurut beliau lagi, seluruh spektrum ilmu perlulah diselidiki dan ditulis semula dalam bentuknya yang asal daripada sudut falsafah. Sekiranya kita tidak berani menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di IPTS, bermakna wujud krisis keyakinan masyarakat negara ini terhadap penggunaan bahasa Melayu.   Sebenarnya, pelbagai seminar dan persidangan telah dianjurkan oleh badan-badan bahasa dan pihak-pihak yang berkenaan bagi memartabatkan bahasa Melayu. Persatuan Linguistik Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Seminar Tamadun Berbahasa Melayu Menjelang Tahun 2020. Seminar ini telah mengutarakan lima resolusi yang antara lain menyatakan bahawa bahasa Melayu telah diterima secara sah dalam dokumen-dokumen perundang-undangan negara sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu.     
Mangantar Simanjuntak (1995) mengatakan bahawa pemelajaran bahasa Inggeris bukan menjadi matlamat utama sistem pendidikan kita. Bahasa Inggeris hanyalah cara untuk memperoleh pengetahuan dan untuk mencapai matlamat yang lain. Menurutnya lagi, kualiti sistem pendidikan kita tidak seharusnya diukur berdasar pada kecekapan kita dalam bahasa Inggeris atau sama ada kita mampu atau tidak mampu bertutur dengan fasih dalam persidangan antarabangsa. Tambahnya lagi, bahasa asing tidaklah terlalu sukar dipelajari jika kita bersungguh-sungguh mempelajarinya.   CADANGAN DAN KESIMPULAN   MARTABAT bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan harus dikembalikan. Bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah maka negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.    Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di IPTS sangat wajar. Keraguan dari segi kemampuan bahasa Melayu untuk mengungkapkan hal-hal yang berkait dengan sains dan teknologi terutamanya perlu dihapuskan dengan usaha pengintelektualan bahasa Melayu dalam bidang tersebut supaya kewibawaan dan martabat bahasa Melayu dapat dipertahankan. Semua pihak mestilah diyakinkan bahawa ketekalan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan tinggi amat penting bagi menjamin kelangsungan negara dan bangsa Malaysia.     
 Usaha untuk memenuhi kehendak dan keperluan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dunia dan era globalisasi, melalui bahasa penghantar yang sesuai perlu juga difikirkan. Oleh sebab bahasa Melayu sudah diajarkan di pelbagai universiti di dalam dan di luar negeri, maka usaha memenuhi keperluan ini tidaklah terlalu sukar.     
 Selain keperluan berkenaan, kempen, konvensyen, seminar, dan persidangan yang meluas di kalangan rakyat perlu diadakan bagi menanamkan keyakinan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan. Keyakinan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan. Keyakinan tentang kedudukan, martabat, dan wibawa bahasa Melayu perlu terus ditanam, dipupuk, dibina, dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.     
 Sememangnya kita senantiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan daya saing, ketahanan, kekreatifan, dan kecemerlangan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan terutamanya. Pihak swasta harus disedarkan bahawa tujuan menguasai bahasa Inggeris cuma untuk menjadi alat menimba dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Yang lebih penting, bagi membina tamadun bangsa dan negara, kita memerlukan bahasa Melayu yang dapat tumbuh, bertapak, dan berakar umbi di hati sanubari rakyat negara ini.    Saranan supaya digugurkan Fasal 17 dalam AP dan Fasal 41 Akta IPTS 1996 dan menggugurkan dasar yang membenarkan bahasa Inggeris, Cina, dan Tamil digunakan sebagai bahasa penghantar di sekolah dan di universiti wajar dibuat. Peruntukan ini seolah-olah menunjukkan adanya krisis keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan yang telah kita bina selama ini. Jika tidak, akan wujud di sebelah pihak untuk membina bahasa Melayu manakala pada pihak yang di sebelah lagi berusaha untuk meruntuhkan atau menghakisnya.     
 Martabat dan status bahasa Melayu perlu dipertahankan dan yang akan mempertahankannya atau tidak adalah kehendak kita sendiri. Dalam usaha kita membina, tidak perlu ada usaha meruntuh supaya segala usaha kita tidak akan menjadi sia-sia. Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan agar tidak pupus. Bahasa Melayu perlu terus dikembangkan supaya tidak hilang di dunia ini serta dapat mencerminkan bangsa kita.      
   Bibliografi  
Abdul Hamid Mahmood 1996. “Kemampuan bahasa Melayu sebagai Bahasa Akademik di Universiti” dlm. Jurnal Dewan Bahasa. 40:8 Ogos hlm. 715-726.  
Abdul Ghani Awang 1997. “Kewibawaan Bahasa Kebangsaan Berterusan dalam Akta Pendidikan 1996” dlm. Jurnal Dewan Bahasa. 41: 2 Feb. hlm. 175-179.  
Abu Bakar Hj. Ibrahim dan Asma Yussof 1994. “Satu Model Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing.” Kertas kerja Seminar Kebangsaan Fortram 94. Universiti Kebangsaan Malaysia.     
Awang Sariyan 1984. Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.     
Awang Sariyan 1995. “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu melalui Institusi Pengajian Tinggi: Pengalaman UIAM.” Kertas kerja Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 21-25 Ogos.  
Azhar Ab. Wahab dan Noor Ida Ramli 1996. “Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing: Pengalaman Jabatan Bahasa Melayu, ITM.” Kertas kerja Seminar Pengajaran Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 14-15 November.  
Hashim Musa 1996. “Gelombang Kedua Hegemoni Bahasa Inggeris dan Kelunturan Status bahasa Melayu: Cabaran dan Saranan.” dlm. Jurnal Dewan Bahasa . 40:2 Disember hlm. 1060-1070.     
Ismail Hussein 1995. “Bahasa Melayu di Dunia Melayu.” Syarahan Raja Ali Haji Kelima.     
Juriah Long 1996. “Pendidikan bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa dalam era industrialisasi dan globalisasi.” Prosiding Pendidikan Negara Abad ke-21. hlm. 316-329.     
Lichong Angkui dan Johary Indan 1997. “Kursus Baru Guna bahasa Melayu.” Berita Harian, 2 Julai:27.     
Mangantar Simanjuntak 1995. “Bahasa Penghantar dan Pembangunan Negara di ASEAN: Satu Analisis Neuropsikolinguistik." dlm. Jurnal Dewan Bahasa. 39:6 Jun hlm. 484-506.     
Mashudi Kader 1996. “Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu kepada Pelajar-pelajar Ijazah Tinggi dari Luar Negara di Universiti Sains Malaysia.” Kertas kerja Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing, BSFU, DBP, GAPENA dan PPMC. 20-24 Mei.     
Mohd. Tajudin Abdul Rahman 1996. “Penyelidikan Pendidikan: Kontrak Sosial ke Arah Meningkatkan Martabat Bahasa Melayu.” Kertas kerja Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing. BSFU, DBP, GAPENA, dan PPMC. 20-24 Mei.     
“Pertahankan Martabat Bahasa Kebangsaan” 1998. Utusan Malaysia, 20 Julai:3.     
Rohani Abdul Rahim 1997. Akta Pendidikan 1996: Suatu tinjauan Perundang-undangan. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.  
Syuhada Choo Abdullah 1998. Tingkatkan Penggunaan Bahasa Melayu di IPTS.” Berita Harian, 29 Jun:I.     
Tajul Ariffin Noordin 1990. “Pendidikan Bahasa: Ke Arah Pembinaan Budaya Berbahasa Melayu.” Seminar Bahasa dan Sastera dalam Pendidikan ke-6, Persatuan Linguistik Malaysia pada 15-17 Mei.     
Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin 1994. Wawasan Pendidikan: Agenda Pengisian, Kuala Lumpur: Cahaya Pantai Publishing Sdn. Bhd.